Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam
tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi
dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah
seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh
fitrahnya itu?
Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar
kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain
itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya
jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah
perlaksanaanya.
Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang
bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa
Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau
mencintai dan dicintai.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan
pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam
telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".
Masyarakat Sudah Lari
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan
bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari
daripada syariat yang sepatutnya.
"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan
dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya
lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan
niatnya untuk masuk meminang.
Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan
empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka
bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan
ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah
sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan
ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang
beliau.
Konsep Meminang
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu
bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan
menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan
wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka
dengan lebih jelas.
Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara
peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila
sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh
lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam
hadis baginda.
Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan
tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan
adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya
sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan
merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra
seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara
satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.
Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan
tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap
dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan
Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan
ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah
diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perigi Cari Timba
Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk
perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba',
'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan
dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu
sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah
untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.
Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad
s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah
menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang
dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak
akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya
melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya
kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak
Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang.
Begitulah yang diajarkan dalam sirah.
Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu
lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti
sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?
Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika
seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh,
suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak
keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma
mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak
lelaki boleh masuk meminang.
Indahnya Cara Islam
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup
penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan
daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak
diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga
bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani.
Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah
dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan
mempermudah urusan itu.
sumber: Artikel iluvislam.com
p/s: 'tuntun hatiku dalam sabar menanti jodohku'..
No comments:
Post a Comment
kamsahamnida reader-ssi ^.-